Dari Teman...
1. Katakanlah: "Aku berlindung kepada Tuhan Yang Menguasai subuh,
Kenapa agaknya ditekankan waktu subuh atau waktu terbitnya matahari? Kenapa bukan zuhur, asar, maghrib atau isyak? Jika kita kaitkan cahaya matahari dengan cahaya hidayah Allah, kita akan nampak kenapa waktu ini dititik-beratkan.
Cahaya hidayah Allah itu sebenarnya adalah cahaya yang memanjangkan jarak penglihatan mata hati kita. Atau maksudnya akal kita boleh berfikir panjang dengan melihat skop yang lebih luas lagi. Kerana itu pentingnya kita merasakan diri kita sebagai umat, bukan sebagai diri kita sendiri. Bila kita berfikir sebagai satu umat, kita akan berfikir secara global bukan untuk kepentingan nafsu sendiri. Dari situ, kita akan nampak kenapa umat Islam jadi lemah dengan membandingkan dengan bangsa-bangsa yang maju pemikirannya.
Selagi mata hati kita melihat dalam skop yang sempit, kita tidak akan sedar diri dan masih terbuai-buai bahawa kita umat Islam ini adalah umat terbaik walhal hakikatnya akhlak kita sudah jauh daripada Allah. Jika kita masih lalai untuk berubah, tidak mustahil azab Allah akan semakin hampir seperti yang telah terjadi pada umat terdahulu yang hidup tanpa guna akal yang waras dan mengejar kebendaan.
Bila kita sedar yang kita perlu berubah, carilah jawapan kelemahan umat dengan melihat kelemahan diri kita sendiri. Dalam diri kita ada jawapannya kerana kita sebahagian daripada umat. Kelemahan umat itu adalah kelemahan kita juga. Maka mulakan dengan berubah dari dalam diri kita sendiri. Seperti yang selalu ditekankan, berbezanya nasib sesuatu bangsa itu kerana lemah menggunakan logik akal. Maka, berubahlah dengan mengubah cara berfikir kita dahulu. Sebenarnya cukup mudah sahaja untuk berubah ini iaitu mengubah cara berfikir sahaja. Tak perlu pun kena bayar yuran atau gadai harta benda kita. Begitulah Maha Pemurah Allah terhadap kita. Bayangkan jika Allah tetapkan untuk berubah itu perlu keluarkan harta benda, lagi-lagi kita bakhil dan tak mahu berubah. Tapi Allah hanya suruh kita luangkan masa berfikir untuk berkenalan dengan Dia sahaja. Tapi semudah jalan Allah lapangkan, tetap ramai manusia tidak mahu berubah.
Untuk mengubah cara berfikir, waktu yang terbaik adalah dengan bangun di penghujung malam. Kerana itu masa zaman lalai, hendak bangun subuh pun sudah terasa liat, apa lagi hendak bangun malam. Bangunlah untuk berfikir mengenai Allah jika kita tidak larat hendak solat malam pun, sebab yang pentingnya akal kita bergerak dahulu, bukannya tubuh badan. Setelah kita jadi suka berfikir mencari idea kita akan semakin nampak KekuasaanNya. Semakin mengenaliNya, semakin seronok hidup kita. Kerana itu untuk menghuraikan satu ayat ini pun boleh jadi panjang berjela, kerana Sifat Pemurah Allah berikan idea-idea ini.
Tanda-tanda kita kenal Allah adalah bila kita banyak idea berkata-kata tentang Sifat-sifatNya yang logik untuk difikirkan. Jika kewujudan alam ini pun Allah cipta dengan logik, bukannya magik, maka Allah sendiri pun logik dan nyata walaupun mata kasar kita tak nampak Dia. Allah Maha Bijaksana yang ilmuNya bukan setakat mata kasar manusia sahaja. Malahan akal kita pun kita tak nampak, tetapi kita percaya ia wujud.
Bila kita berjaya menguasai waktu subuh kita, bermakna kita dalam perlindunganNya. Bangun awal pagi tanda kerajinan berfikir, manakala bangun tengahari tanda kemalasan. Lepas waktu tengahari, otak kita sudah kurang idea hendak berfikir. Sebab itu orang-orang dulu-dulu selalu kata, bangun lewat rezeki susah hendak masuk. Bila kita kaitkan idea dengan rezeki, memang betullah seperti yang dikatakan. Begitulah fitrah yang Allah telah tetapkan pada alam dan diri kita. Jika kita langgar fitrah ini, pasti hidup kita sudah tidak sempurna.
bersambung....
0 comments:
Post a Comment